Tuntutan awal pengangguran AS turun 33,000 kepada 231,000 bagi minggu berakhir 13 September, membalikkan sebahagian lonjakan minggu sebelumnya yang banyak berpunca dari Texas akibat peningkatan cubaan penipuan identiti selepas cuti Hari Buruh. Walaupun pemberhentian kerja kekal rendah, pasaran buruh jelas lembik kerana kedua-dua permintaan dan penawaran pekerja mengecil.
Jerome Powell menyifatkan keadaan sebagai “keseimbangan pelik” dengan permintaan pekerja susut yang salah satunya disebabkan ketidakpastian tarif import, manakala penawaran pekerja terjejas oleh tindakan tegas imigresen. Kadar pengangguran kini sekitar 4.3% (tertinggi hampir 4 tahun), dan kerajaan menyatakan angka gaji mungkin terlebih kira 911,000 pekerjaan bagi 12 bulan hingga Mac.
The Fed pada awal Khamis membuat keputusan mengurangkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas ke 4.00%–4.25% dan menjangkakan rentak pemotongan berterusan sepanjang 2025, selepas jeda pada Januari kerana ketidakpastian kesan inflasi tarif import. Langkah ini bertujuan menyokong pasaran buruh yang kian perlahan.
Momentum pengambilan kekal lemah dengan gaji bukan pertanian bertambah hanya 22,000 pada Ogos (purata 29,000 untuk 3 bulan). Penerima faedah lanjutan menurun sedikit kepada 1.920 juta, namun tempoh purata pengangguran meningkat ke 24.5 minggu. Ini menandakan mereka yang kehilangan kerja mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan baharu.