US dolar terus bergerak lemah lebih ketara pada beberapa sesi dagangan Khamis semalam ketika keputusan situasi penutupan kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah menemui titik penghujungnya.
Presiden Donald Trump telah menandatangani rang undang-undang pembiayaan kerajaan setelah diserahkan dari Dewan Perwakilan semalam, sekaligus memuktamadkan penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah negara itu.
Pelabur berkemungkinan masih mengambil masa untuk menghadam perkembangan ini, dengan kebimbangan terhadap impak jangka panjang ekonomi selepas operasi yang terjejas sebelum ini.
Pemulihan ekonomi juga berkemungkinan akan mengambil sedikit masa selepas beribu pekerja dalam pelbagai sektor yang terjejas pendapatan.
Penasihat ekonomi White House, Kevin Hasset menyatakan bahawa kerajaan akan menerbitkan laporan pekerjaan pada Oktober, namun tanpa data pengangguran berikutan tinjauan isi rumah tidak dapat dijalankan pada bulan tersebut.
Beliau yang dikaitkan sebagai calon pengganti Jerome Powell sebagai Pengerusi Federal Reserve (Fed) mengatakan bahawa beliau bersedia untuk menurunkan kadar faedah seperti yang dimahukan Presiden Trump.
Data yang diterbitkan bakal mempengaruhi trajektori Fed untuk menentukan perubahan pada kadar faedah ketika tercetus perbezaan pandangan oleh ahli penggubal dasar.





















































