US dolar mula menunjukkan pengukuhan pada dagangan Selasa semalam ketika pembukaan pasaran yang bercampur di awal minggu ini.
Kebimbangan pelabur telah mula mencetuskan permintaan terhadap US dolar sebagai safe-haven sementara situasi di Amerika Syarikat (AS) masih lagi buntu mencari penyelesaian dalam kesepakatan bajet perbelanjaan.
Presiden Donald Trump telah memberi amaran untuk melakukan pemecatan besar-besaran pekerja persekutuan jika government shutdown berlarutan.
Petunjuk dalam pasaran sedikit kabur apabila laporan pekerjaan NFP September yang sepatutnya diterbitkan pada Jumaat lalu telah ditangguhkan.
Tumpuan akan terarah kepada laporan minit mesyuarat FOMC yang akan diterbitkan awal pagi Khamis untuk pelabur meneliti butiran lebih jelas selepas keputusan pemotongan kadar faedah pertama oleh Federal Reserve (Fed) untuk tahun ini.
Walaupun situasi penutupan kerajaan menjejaskan penerbitan data, pelabur masih mengekalkan jangkaan untuk pemotongan lanjut kadar faedah akan dilaksanakan Fed pada baki mesyuarat penghujung 2025.
Jika berdasarkan unjuran sebelum ini, pelonggaran dasar monetari berkemungkinan akan diteruskan sehingga tahun hadapan.
Sementara itu, mata wang Yen paparkan penyusutan nilai yang berterusan sehingga ke sesi Asia pagi ini, mencecah ke paras terendah 8 bulan.
Situasi didorong oleh kemenangan Sanae Takaichi yang akan memimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun sekaligus menjadi calon utama sebagai Perdana Menteri Jepun wanita yang pertama.
Susulan dikenali sebagai seorang yang ‘dovish’, kemenangan Takaichi telah menurunkan jangkaan untuk Bank of Japan (BO) menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Oktober.