US dolar memulakan dagangan perlahan pada pembukaan awal minggu ini selepas alami susut nilai pada sesi-sesi akhir penutupan minggu lepas.
Lonjakan data inflasi pengeluar AS yang diterbitkan pada Khamis menyokong pengukuhan US dolar, namun mata wang itu kembali melemah pada Jumaat dengan data jualan runcit dan tinjauan keyakinan pengguna AS yang kurang memberangsangkan.
Pelabur masih menilai data-data ekonomi terbaru yang diterbitkan untuk gambaran hala tuju yang menjadi pilihan bank pusat dalam penetapan dasar monetari selanjutnya.
Federal Reserve (Fed) dijangka untuk memulakan pemotongan kadar faedah pada mesyuarat September, dengan spekulasi yang berubah-ubah dalam pasaran berterusan mempengaruhi perubahan prestasi dagangan US dolar.
Selain data, pelabur juga akan memerhati beberapa acara tumpuan utama yang akan berlangsung pada minggu ini.
Di awal minggu, pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy akan diberi perhatian yang turut akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Eropah yang lain.
Trump dijangka akan turut menekan Zelenskiy untuk mengakhiri peperangan secepat mungkin setelah beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada hujung minggu di Alaska.
Selain itu, di penghujung minggu akan berlangsungnya acara simposium Jackson Hole yang akan menghimpunkan ahli-ahli kewangan dari seluruh dunia.
Ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell untuk unjuran ekonomi dan rangka kerja polisi bank pusat akan diteliti.