Pasaran pembukaan awal minggu dijangka masih perlahan berikutan bank-bank utama tidak beroperasi sempena Easter Monday.
Namun US dolar menunjukkan pergerakan jelas di permulaan sesi Asia pagi ini yang menyambung corak penyusutan sebelum ini.
Selepas bergerak mendatar di penutup minggu lepas, US dolar terus mengalami susut nilai ekoran tekanan ancaman tarif terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Beberapa data ekonomi terbaru akan diperhatikan pada minggu ini untuk menilai kesan semasa ketidaktentuan tarif global yang dicetuskan oleh Presiden AS Donald Trump.
Data-data terbaru pada minggu ini yang bakal diterbitkan akan meninjau kesihatan pada sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk bulan April.
Dengan penyusutan US dolar yang berterusan pada minggu ini, mata wang Euro didagangkan meningkat ke paras tertinggi terbaru 3 tahun sementara Pound pula tertinggi 6 bulan.
Euro berjaya bergerak positif meskipun bank pusat Eropah (ECB) pada mesyuarat minggu lalu telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Presiden ECB Christine Lagarde pada kenyataan susulan selepas mesyuarat itu tidak memberi petunjuk jelas untuk langkah monetari selanjutnya, namun melihat unjuran ekonomi zon Eropah yang masih diselubungi ketidaktentuan.
Dolar Kanada kukuh ke paras tertinggi 6 bulan didorong lonjakan harga minyak mentah, selain berjaya mengekalkan kenaikan mingguan selama 7 minggu berturut-turut.