US dolar terus didagangkan lemah menyambung penyusutan sejak pembukaan dagangan awal minggu ini ketika pasaran mengekalkan jangkaan untuk pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) minggu ini.
Keputusan mesyuarat FOMC September akan diketahui pada awal pagi Khamis nanti dan pastinya bakal berlaku pergerakan besar dalam pasaran kewangan.
Selepas memerhatikan petunjuk pada data-data penting yang telah diterbitkan sebelum ini termasuk inflasi dan pekerjaan, pasaran cukup yakin bahawa pelonggaran dasar akan diteruskan semula oleh Fed setelah kadar faedah dikekalkan sepanjang tahun ini.
US dolar kini susut ke paras terendah 4 tahun berbanding Euro, mencecah paras sejak September 2021.
Mata wang utama lain mengambil kesempatan untuk pamerkan peningkatan nilai masing-masing dalam suasana pasaran yang berhati-hati.
Situasi tenang boleh berubah dalam sekelip mata sahaja selepas keputusan mesyuarat FOMC dan corak pada penghujung minggu mungkin tidak sama seperti beberapa hari sebelum ini.
Sementara menjelang acara mesyuarat FOMC, pelabur akan memberi tumpuan dahulu pada laporan data inflasi UK di sesi Eropah dan pada sesi New York pula, perhatian diberikan kepada mesyuarat polisi bank pusat Kanada.
Bank of Canada (BOC) dijangka akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas daripada 2.75% kepada 2.50%.