US dolar menunjukkan pengukuhan ketara pada dagangan di sesi New York semalam selepas alami penyusutan beransur-ansur 4 hari berturut-turut dari pembukaan awal minggu.
Situasi pasaran masih dalam ketidakpastian dengan impak awal bakal dirasai ekonomi susulan bermulanya langkah penutupan separa kerajaan di Amerika Syarikat (AS).
Kebuntuan dalam mencapai kesepakatan di Kongres telah mendorong operasi-operasi kurang penting di AS untuk dihentikan seketika.
Laporan pekerjaan yang dinantikan pelabur pada Jumaat juga terpaksa ditangguhkan penerbitan bagi September.
Petunjuk penting akan terus diteliti pelabur dalam menilai keputusan lanjut pada mesyuarat FOMC Oktober pula selepas pemotongan kadar faedah kembali diteruskan Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat September seperti yang dijangkakan.
Dengan isyarat bank pusat sebelum ini, pasaran masih meletakkan jangkaan untuk pemotongan lanjut dilaksanakan pada baki mesyuarat 2025 ini, namun sebesar manakah pemotongan akan dilakukan memerlukan petunjuk daripada data-data terbaru.
Mata wang utama lain kembali ditekan jatuh semula dengan pengukuhan US dolar, namun situasi berkemungkinan hanya bertahan dalam tempoh jangka masa pendek.
Masih tidak jelas pergerakan pasaran menuju dagangan ke sesi-sesi akhir minggu ini, justeru pelabur akan kekal berwaspada mengawal risiko dagangan sedia ada.