Meneliti petunjuk pada data yang diterbitkan di penutup minggu lalu, indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi di Amerika Syarikat (AS) menepati ramalan dengan peningkatan 0.3% untuk Januari seperti bacaan pada Disember lalu.
Bacaan PCE teras juga turut catatkan 0.3% meningkat dari bulan sebelum pada 0.2% sementara bacaan PCE tahunan pula sedikit meningkat kepada 2.6%.
Bacaan yang selari dengan data inflasi yang diterbitkan sebelum ini menguatkan lagi jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadar faedah dan memperlahankan pelonggaran dasar monetari.
Petunjuk pada minggu ini pula akan terarah kepada laporan pekerjaan NFP AS untuk Fed menilai kesihatan semasa sektor buruh di awal 2025 ini.
Data-data semasa menyokong US dolar untuk pamerkan prestasi baik ketika penutupan dagangan Februari lalu.
Selain itu, faktor tambahan yang menyokong lanjutan pengukuhan US dolar untuk pembukaan Mac ini adalah sentimen pasaran yang berisiko.
Di hujung minggu, kecoh dalam pasaran kewangan berkenaan isu pertemuan Presiden Donald Trump yang dikunjungi oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy di White House pada awal pagi Sabtu lalu
Pertemuan pada awalnya untuk membincangkan perjanjian mineral antara Ukraine dan AS itu berakhir tegang dan Zelenskiy kemudiannya meninggalkan perkarangan White House lebih awal dari sepatutnya.
Pelabur akan kekal berhati-hati memerhati isu-isu semasa yang berlegar dalam pasaran untuk pembukaan dagangan awal Mac ini.