Selepas pasaran memerhati petunjuk pada data inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS) pada Rabu lalu, tumpuan beralih kepada inflasi pengeluar AS pula di sesi New York semalam.
Seperti bacaan inflasi pengguna yang meningkat, indeks harga pengeluar (PPI) bulanan AS juga mencatatkan peningkatan kepada 0.4% untuk Januari berbanding ramalan 0.3%, namun rendah berbanding bulan sebelumnya 0.5% yang dikemaskini meningkat daripada 0.2%.
Bacaan PPI tahunan juga meningkat kepada 3.5% berbanding ramalan pasaran pada 3.2% yang menunjukkan peningkatan harga barangan di peringkat pengeluar.
Namun, seperti situasi sebelum ini, US dolar terus didagangkan lemah selepas data diterbitkan sehingga ke dagangan penghujung sesi.
Tumpuan pasaran beralih kepada data seterusnya pada hari ini (Jumaat) iaitu jualan runcit AS untuk bulan Januari dengan ramalan angka yang merosot.
Pelabur yang berwaspada dengan perubahan pada sentimen pasaran semasa memerhatikan acara persidangan media yang diadakan oleh Presiden Donald Trump semalam yang membicarakan berkenaan tarif.
Beliau mempertimbangkan pelaksanaan tarif terhadap negara-negara yang menggunakan sistem cukai nilai tambah selain memberi amaran, apa sahaja tindakan yang dikenakan oleh mana-mana negara, akan dibalas semula.
Trump turut memberitahu tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang menurunkan tarif eksport kenderaan kepada 2.5% adalah suatu kemenangan besar buat AS.
Kepada negara-negara BRICS yang berpaling tadah dari US dolar, Trump mengancam tarif 100% bakal dikenakan.
Mesyuarat bersama Rusia dan Ukraine akan diadakan pada minggu hadapan di Arab Saudi.