US dolar menutup dagangan hari terakhir minggu lalu dengan pergerakan yang suram setelah dilihat gagal untuk mempertahankan momentum pengukuhan pada hari sebelumnya.
Namun begitu, US dolar pada minggu lalu berjaya pamerkan prestasi cemerlang dalam tempoh 6 minggu, menunjukkan pembukaan 2025 yang memberangsangkan buat raja mata wang itu.
Dengan situasi tersebut, penganalisis melihat potensi besar bagi US dolar untuk melanjutkan pengukuhannya berikutan isyarat yang telah diterima pada mesyuarat FOMC terakhir 2024.
Walaupun kadar faedah diturunkan, namun Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell telah menyatakan bahawa bank pusat akan menurunkan kadar faedah dengan berhati-hati.
Isyarat untuk memperlahankan pelonggaran dasar monetari itu memberi kelebihan semula kepada US dolar untuk mengukuh sekurang-kurangnya untuk awal 2025 ini.
Pasaran buruh yang dinilai masih kukuh serta inflasi yang masih ‘degil’ untuk turun ke paras sasaran bank pusat telah mendorong peningkatan pada hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), sekaligus turut menyokong peningkatan nilai US dolar.
Pengukuhan US dolar akan lebih ketara sekiranya angka inflasi terbaru AS selepas ini semakin menunjukkan peningkatan lebih tinggi.
Untuk minggu ini, petunjuk awal akan diperoleh menerusi laporan pekerjaan NFP AS bagi bulan Disember yang akan dinilai Fed untuk penetapan dasar monetari selanjutnya.
Selain itu, penganalisis teruja untuk melihat peralihan pentadbiran White House di bawah pimpinan Donald Trump yang akan kembali semula bagi penggal keduanya.
Polisi baru pentadbiran Trump bakal memberi impak terhadap cukai dan perniagaan, dijangka akan mengukuhkan pertumbuhan, namun amaran terhadap peningkatan inflasi.
Pelabur berkemungkinan akan mengambil sikap berhati-hati dalam waktu terdekat ini sehingga menantikan tarikh angkat sumpah berlangsung.