Selepas paparkan corak pemulihan nilai yang beransur-ansur bermula pada Rabu lalu, US dolar dilihat menyambung pengukuhan lebih jelas pada dagangan Khamis semalam.
Situasi turut didorong oleh bacaan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terbaru dengan kejutan angka yang diterbitkan.
Laporan pertumbuhan ekonomi AS di sesi New York semalam menunjukkan bacaan akhir bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua adalah 3.8%, lebih tinggi mengatasi ramalan untuk kekal seperti bacaan sebelumnya pada 3.3%.
Data ekonomi yang kukuh itu telah mengurangkan sedikit tekanan sebelum ini ketika Federal Reserve (Fed) telah meneruskan kembali pelonggaran dasar mereka dengan langkah pemotongan kadar faedah pertama tahun ini pada mesyuarat September.
Mungkin ini akan menjadi situasi terbaik buat US dolar sebelum dijangkakan tekanan kembali semula dengan jangkaan pemotongan lanjut kadar faedah pada baki mesyuarat penghujung 2025 ini.
US dolar kukuh ketara di sesi New York semalam, namun pelabur menjangkakan pergerakan berhati-hati untuk beberapa sesi terbaru ini.
Ini berikutan tumpuan akan terarah kepada petunjuk seterusnya iaitu laporan indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi AS untuk bacaan Ogos.
Data ini menjadi indikator inflasi kegemaran Fed dalam mengukur kestabilan harga dalam ekonomi selain mempengaruhi keputusan penetapan dasar monetari.