Setelah dinantikan pelabur, akhirnya persoalan terjawab apabila Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat Oktober minggu lalu telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, meneruskan langkah yang dimulakan pada September lalu.
Ironinya, mata wang US dolar berjaya memaparkan pengukuhan nilai bermula selepas mesyuarat FOMC berakhir sehingga ke penutup dagangan sesi terakhir minggu lalu.
Ini berikutan tiada pengesahan yang disampaikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell untuk pemotongan lanjut pada mesyuarat Disember.
Namun begitu, penganalisis pasaran masih melihat kecenderungan untuk pelonggaran dasar monetari dilanjutkan lagi oleh Fed.
Data-data ekonomi terbaru pada minggu ini akan menjadi penting bagi hala tuju bank pusat dalam penetapan dasar seterusnya.
Cabaran adalah situasi penutupan kerajaan di Amerika Syarikat (AS) masih lagi berlanjutan yang merisikokan penangguhan lagi data pekerjaan.
Beberapa kenyataan oleh pegawai Fed di penghujung minggu lalu juga menjadi rujukan pelabur selain menyokong prestasi positif US dolar.
Presiden Fed Cleveland, Beth Hammack pada Jumaat menyatakan pandangan beliau untuk kadar faedah tidak perlu diturunkan berikutan ketidaktentuan pasaran buruh dengan pekerja sektor awam yang ramai direhatkan.



















































