Setelah paparkan penyusutan nilai yang sederhana selepas laporan minit FOMC diterbitkan, mata wang US dolar kemudiannya kembali didagangkan kukuh lebih ketara semula pada Khamis semalam.
Para pemain pasaran dilihat lebih tertarik untuk meningkatkan pegangan US dolar sebagai safe-haven ketika situasi penutupan kerajaan di Amerika Syarikat (AS) kekal berlarutan.
Sebagai mata wang rizab dunia, pelabur terdorong mengalihkan aliran modal ke mata wang selamat dalam suasana ketidakpastian pasaran yang turut dipengaruhi risiko geopolitik selain krisis di Eropah dan Jepun yang menjadi tumpuan.
Mata wang Eropah jelas terperosok jatuh ke paras terendah terbaru 9 minggu, dicetuskan oleh kebimbangan di Perancis susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Sébastien Lecornu yang tidak sampai sebulan dilantik.
Tambahan pula dengan momentum pengukuhan US dolar yang berjaya dikekalkan, Euro berisiko untuk berdepan kejatuhan lebih parah di penutup minggu ini.
Agak mengejutkan buat penganalisis pasaran dengan corak pengukuhan US dolar ketika situasi pemulihan nilai dari awal minggu dijangka hanya bersifat sementara dan sederhana.
Namun, pengukuhan US dolar di sesi New York semalam menunjukkan keyakinan pelabur terhadap mata wang tersebut yang masih tinggi.
Berkemungkinan juga aktiviti pengambilan untung berlaku lebih awal dengan jangkaan risiko besar bakal melanda US dolar semula selepas ini.
Ini berikutan situasi penutupan kerajaan semakin menjejaskan sektor pekerjaan dan akan memburukkan lagi bacaan laporan data yang sudah pun tertangguh.
Presiden Donald Trump memberi amaran untuk laksanakan pemotongan kekal terhadap program berkaitan Demokrat semasa situasi penutupan kerajaan berlarutan.