Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi dipacu oleh kenaikan saham UnitedHealth dan data pekerjaan NFP yang lebih rendah daripada jangkaan.
Perkembangan ini mengukuhkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) berkemungkinan menurunkan kadar faedah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Saham UnitedHealth melonjak selepas syarikat itu menjangkakan pendaftaran dalam pelan insurans Medicare selaras dengan ramalan, sekaligus berpotensi meningkatkan pembayaran kerajaan kepada syarikat insurans.
Kerajaan AS menyatakan ekonomi dijangka menjana 911,000 pekerjaan lebih sedikit sehingga Mac berbanding anggaran awal, menandakan pertumbuhan pekerjaan telah terhenti sebelum Presiden Donald Trump memperkenalkan tarif global.
Selain itu, data pekerjaan NFP terkini bagi bulan Julai dan Ogos juga menunjukkan keadaan pasaran buruh yang lebih lemah.
Menurut CME FedWatch, pasaran kewangan kini menjangkakan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Fed minggu depan, dengan niaga hadapan menunjukkan hampir 10% kemungkinan pemotongan 50 mata asas.
Indeks Dow Jones meningkat 0.43% kepada 45,711.34 mata, S&P 500 naik 0.27% kepada 6,512.61 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi mengukuh 0.27% kepada 21,879.49 mata.
Pelabur turut menantikan laporan inflasi pengeluar (PPI) pada Rabu jam 8.30 malam waktu Malaysia (MYT) serta data inflasi pengguna (CPI) pada Khamis jam 8.30 malam MYT untuk menilai kesan tarif Trump dan menimbang kemungkinan pemotongan kadar faedah yang lebih agresif.
Sementara itu, saham Apple menyusut 1.5% selepas pelancaran iPhone baharu yang tidak memenuhi jangkaan pelabur.
Saham Nebius pula melonjak hampir 50% selepas syarikat infrastruktur kecerdasan buatan (AI) itu menandatangani perjanjian bernilai $17.4 bilion dengan Microsoft, manakala saingannya CoreWeave naik 7%.
Jumlah dagangan di bursa AS mencatatkan $15.6 billion, berbanding purata $16.1 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan penuh.