Wall Street ditutup lebih rendah pada sesi dagangan Selasa apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang penerbitan beberapa data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) minggu ini.
Antara tumpuan utama minggu ini ialah data pekerjaan NFP bagi bulan Oktober dan November yang akan dikeluarkan pada Selasa jam 9:30 malam ini, bersama data jualan runcit, aktiviti perniagaan, serta inflasi.
Laporan pekerjaan NFP bagi Oktober sebelum ini terpaksa ditangguhkan berikutan penutupan kerajaan persekutuan pada awal suku tahun tersebut.
Presiden Federal Reserve (Fed) New York, John C. Williams menyatakan bahawa penurunan kadar faedah oleh bank pusat minggu lalu telah meletakkan dasar monetari AS pada kedudukan lebih kukuh.
Bagaimanapun, Gabenor Fed berpendapat bahawa kadar inflasi semasa tidak sepenuhnya mencerminkan dinamik sebenar antara penawaran dan permintaan dalam ekonomi.
Dari segi prestasi pasaran, indeks Dow Jones merosot 0.09% kepada 41.49 mata, S&P 500 jatuh 0.16% kepada 10.90 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi merudum 0.59% kepada 137.76 mata.
S&P 500 dan Nasdaq sebelum ini mencatatkan penurunan paling ketara dalam tempoh lebih tiga minggu pada Jumaat lalu, disebabkan oleh kebimbangan terhadap tekanan inflasi, serta peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) akibat jumlah hutang yang tinggi.
Sementara itu, pelabur turut menilai laporan bahawa pencalonan Penasihat Ekonomi White House, Kevin Hassett untuk mengambil alih jawatan Pengerusi Fed, Jerome Powell dilaporkan mendapat bantahan daripada beberapa individu yang rapat dengan Presiden AS, Donald Trump.
























































