Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah ketika pelabur menilai unjuran kadar faedah AS serta menantikan laporan suku tahunan Nvidia, selepas rali pada Jumaat lalu yang membawa indeks Dow Jones ke paras penutupan tertinggi.
Saham Nvidia meningkat 1% menjelang laporan suku tahunan pada Rabu, yang akan menjadi sorotan utama Wall Street minggu ini dan menjadi ujian penting kepada pasaran kecerdasan buatan (AI).
Dengan menyumbang kira-kira 8% kepada S&P 500, keputusan Nvidia sebagai syarikat paling bernilai dunia memberi kesan besar kepada jutaan rakyat Amerika yang melabur dalam dana indeks untuk persaraan.
Purata indeks S&P 500 menyusut 0.43% kepada 6,439.32 mata, Dow Jones jatuh 0.77% kepada 45,282.47 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi merosot 0.22% kepada 21,449.29 mata.
Pada Jumaat lalu, saham melonjak selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell mencadangkan kemungkinan pemotongan kadar pada mesyuarat September susulan kelemahan pasaran buruh.
Dalam tumpuan lain, Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) – tolok inflasi pilihan Fed – akan dikeluarkan pada Jumaat, manakala data pekerjaan NFP dijangka diumumkan minggu hadapan.
Laporan ini penting selepas Powell menegaskan bahawa penurunan kadar masih belum pasti.
Sementara itu, saham peruncit perabot RH dan Wayfair jatuh lebih 5% selepas Presiden Donald Trump mengumumkan siasatan terhadap tarif import perabot.
Saham Intel pula merosot 1% selepas Trump mendedahkan penglibatan kerajaan AS dalam syarikat itu dan merancang tawaran baharu selepas perjanjian dengan Intel.
Jumlah dagangan di bursa AS mencatatkan $14.2 bilion, berbanding purata $17.1 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan penuh.