Niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) mencatatkan peningkatan disokong oleh sentimen positif pelabur terhadap jangkaan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) serta perkembangan yang memberangsangkan dalam rundingan perdagangan AS-China.
Indeks S&P 500 meningkat 0.7% kepada 6,873.75 mata, Dow Jones melonjak 0.6% kepada 25,726.75 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi menokok 0.9% kepada 25,726.75 mata.
Sentimen pelabur terus mengukuh selepas data menunjukkan harga pengguna AS merosot melebihi jangkaan pada September, sekaligus meningkatkan jangkaan bahawa Fed akan menurunkan kadar pada mesyuarat dasarnya yang berlangsung pada 30 Oktober jam 2:00 pagi waktu Malaysia.
Data inflasi yang lebih rendah turut meningkatkan jangkaan pemotongan sebanyak 25 mata asas, dan pasaran kini meneliti petunjuk sama ada bank pusat itu akan melonggarkan dasar lagi dalam beberapa bulan akan datang.
Dalam perkembangan lain, pegawai AS dan China telah mencapai ‘pemahaman rangka kerja’ mengenai isu perdagangan utama pada hujung minggu di Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengesahkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan ancaman tarif baharu dan menghentikan rancangan sekatan China ke atas eksport nadir bumi.
Kejayaan tersebut membuka laluan kepada Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping untuk mengadakan pertemuan pada akhir minggu ini bagi memuktamadkan perjanjian berkenaan.
Perkembangan positif itu dilihat sebagai satu isyarat bahawa ketegangan tarif antara kedua-dua negara bakal kembali reda, sekaligus meningkatkan tarikan terhadap aset risiko di peringkat global.
Sementara itu, tumpuan akan beralih kepada musim pendapatan korporat, dengan lima daripada syarikat gergasi teknologi ‘Magnificent Seven’ dijadualkan melaporkan prestasi mereka minggu ini.
Microsoft, Meta Platforms dan Alphabet dijangka mengumumkan keputusan pada Rabu, diikuti Apple dan Amazon pada Khamis.
Pelabur kini akan meneliti kemas kini mengenai pelaburan kecerdasan buatan (AI), permintaan perkhidmatan awan dan trend perbelanjaan pengguna.























































