Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi dengan indeks Nasdaq Composite mencatatkan penutupan tertinggi dua hari berturut-turut.
Kenaikan ini turut didorong oleh lonjakan saham teknologi termasuk Apple ketika pelabur kekal optimis terhadap kemungkinan pemotongan kadar faedah.
Saham Apple melonjak 4.2% dan meningkat 13.3% untuk sepanjang minggu, menandakan kenaikan mingguan terbesar sejak 2020.
Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Apple akan menambah pelaburan $100 bilion di AS menjadikan jumlah komitmen syarikat itu mencecah $600 bilion dalam empat tahun akan datang.
Purata indeks Dow Jones menaik 0.47% kepada 206.97 mata, S&P 500 menokok 0.78% kepada 49.45 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi mencanak 0.98% kepada 207.32 mata.
Dalam perkembangan lain, kelemahan data ekonomi baru-baru ini telah meningkatkan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah dengan pelabur juga menilai calon gabenor Federal Reserve (Fed) yang dipilih sementara oleh Trump.
Menurut FedWatch CME, kebarangkalian pemotongan kadar sekurang-kurangnya 25 mata asas pada mesyuarat September meningkat kepada 89.4% berbanding 80.3% minggu lalu dengan niaga hadapan meramalkan sekurang-kurangnya dua pemotongan menjelang akhir tahun.
Sementara itu, data inflasi dijangka menjadi ujian utama kepada rali pasaran saham AS minggu ini dengan sebahagian pelabur menjangkakan kemungkinan pembetulan harga semula.
Laporan bulanan indeks harga pengguna (CPI) AS akan diumumkan pada Selasa ini.
Pelabur turut memantau hubungan perdagangan AS-India selepas New Delhi menangguhkan pembelian senjata dan pesawat baharu dari Washington susulan keputusan Trump minggu lalu menaikkan tarif ke atas eksport India kepada 50%.
Jumlah dagangan di bursa AS merekodkan $16.18 bilion berbanding purata $18.27 bilion selama 20 hari dagangan penuh.