Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah berikutan ketidakpastian mengenai tarif perdagangan Presiden Donald Trump serta kemungkinan pemotongan kadar faedah yang mendorong para pelabur bersikap berhati-hati.
Ketidakpastian tarif Trump semakin memuncak selepas Mahkamah Rayuan AS pada hujung minggu memutuskan bahawa sebahagian besar tarif tersebut adalah tidak sah, dengan menegaskan hanya Kongres mempunyai kuasa untuk meluluskan levi.
Trump segera mengkritik keputusan mahkamah berkenaan dan menyatakan beliau akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung.
Meskipun keputusan Mahkamah Agung berpotensi meredakan gangguan ekonomi, namun langkah tersebut juga berisiko menambah ketidakpastian terhadap perjanjian perdagangan antara AS dan rakan kongsinya yang mungkin memerlukan rundingan semula.
Tarif Trump yang mula berkuat kuasa pada Ogos lalu telah mengenakan levi antara 10% hingga 50%.
Namun begitu, penganalisis menjangkakan tarif tersebut akan ditanggung oleh pengimport tempatan yang berisiko meningkatkan tekanan inflasi AS dalam beberapa bulan akan datang.
Indeks S&P 500 menyusut 0.6% kepada 6,460.26 mata, Dow Jones jatuh 0.2% kepada 45,544.88 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi merosot 1.2% kepada 21,455.55 mata.
Dalam perkembangan lain, Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang diumumkan pada Jumaat lalu kekal tinggi, sekaligus menimbulkan keraguan terhadap prospek pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Pengerusi Fed, Jerome Powell pada Ogos lalu menyatakan bank pusat sedang mempertimbangkan pemotongan kadar faedah pada September sambil memberi amaran mengenai risiko inflasi yang masih berterusan.
Menurut CME FedWatch, pasaran kini menilai peluang sebanyak 86.6% bahawa Fed akan mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada September.