Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah apabila pelabur berwaspada menjelang keputusan kadar faedah daripada Federal Reserve (Fed).
Pelabur menjangkakan Fed akan memotong kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada akhir mesyuarat dua hari dengan keputusan diumumkan pada Khamis jam 2 pagi waktu Malaysia bagi mengimbangi kelemahan pasaran buruh.
Selain itu, data pada Selasa turut menunjukkan jualan runcit AS meningkat melebihi jangkaan pada bulan Ogos, namun perkembangan itu tidak banyak mengubah unjuran terhadap pemotongan kadar.
Indeks Dow Jones menyusut 0.27% kepada 125.55 mata, S&P 500 jatuh 0.13% kepada 8.52 mata, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi merosot 0.07% kepada 14.79 mata.
Pelabur juga mengetepikan laporan bahawa Senat AS meluluskan pelantikan penasihat ekonomi White House, Stephen Miran ke Lembaga Fed.
Dalam perkembangan lain, mahkamah rayuan menolak permohonan Presiden Donald Trump untuk menyingkirkan Gabenor Fed, Lisa Cook.
Sementara itu, saham Webtoon melonjak 39% selepas syarikat itu mengumumkan kerjasama dengan Disney untuk membangunkan platform komik digital baharu berasaskan kandungan Marvel dan Star Wars.
Saham Oracle pula naik 1.5% selepas Trump menyatakan AS dan China mencapai perjanjian bagi memastikan aplikasi TikTok kekal beroperasi di negara itu.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $17.11 bilion, berbanding purata $16.31 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan penuh.