Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell menyatakan bahawa bank pusat itu perlu mengimbangi kebimbangan terhadap inflasi dan kelemahan pasaran buruh dalam membuat keputusan kadar faedah pada masa akan datang.
Dalam kenyataannya pagi tadi, Powell memberi isyarat bahawa Fed mungkin akan memotong kadar faedah lagi selepas melaksanakan pemotongan pertama tahun ini pada minggu lalu, sekaligus membuka ruang kepada pengurangan lanjut.
Beliau turut menegaskan bahawa pemotongan kadar faedah seterusnya perlu dilakukan secara perlahan dan berhati-hati.
Powell memberi amaran bahawa pemotongan yang terlalu agresif boleh meningkatkan risiko inflasi, manakala kadar yang terlalu lama dikekalkan tinggi boleh menjejaskan pasaran buruh.
Naib Pengerusi Fed, Michelle Bowman pula berkata bank pusat boleh meredakan kebimbangan terhadap inflasi yang berterusan dan perlu berkomitmen untuk menurunkan kadar bagi menyokong pasaran buruh.
Indeks Dow Jones menyusut 0.19% kepada 46,292.78 mata, S&P 500 jatuh 0.55% kepada 6,656.92 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada industri teknologi menyusut 0.95% kepada 22,573.47 mata.
Sementara itu, saham Nvidia merosot 2.8% selepas melonjak pada sesi sebelumnya berikutan pengumuman rancangan pelaburan bernilai $100 bilion dalam OpenAI. Amazon jatuh 3.04%, Microsoft merudum 0.94% dan Apple menurun 0.61%.
Sebaliknya, saham Boeing meningkat 2% selepas syarikat itu menerima pesanan bernilai lebih $8 bilion daripada Uzbekistan Airways.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $18.89 bilion, berbanding purata $17.66 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan.