Spekulasi mengenai White House yang bakal mengambil pegangan sehingga 10% dalam syarikat gergasi semikonduktor Intel terus beterbangan menguasai pasaran global, sekali gus berjaya melonjakkan saham syarikat itu sebanyak 24% pada minggu lalu merupakan prestasi mingguan terbaik sejak Januari 2000.
Menurut laporan Bloomberg, langkah berkenaan dilihat mampu memperkukuh keselamatan negara serta mengurangkan kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap pengeluaran cip dari Asia.
Intel yang kini diketuai Lip-Bu Tan sebelum ini berdepan tekanan hebat apabila Presiden Donald Trump menggesa beliau meletak jawatan susulan dakwaan mempunyai kaitan dengan syarikat China.
Namun, selepas pertemuan rasmi di White House, Trump dilihat mengubah pendirian dengan menyifatkan Tan sebagai ‘kisah kejayaan luar biasa’.
Intel turut mencatat sejarah sebagai penerima manfaat terbesar Akta CHIPS dan Sains, dengan dana $7.86 bilion diperoleh bagi membangunkan projek semikonduktor di Arizona, New Mexico, Ohio dan Oregon.
Penganalisis pasaran menyifatkan perbincangan ini sebagai satu lagi strategi Trump dalam merombak landskap ekonomi global, sekali gus memberi isyarat kebangkitan semula Intel selepas kegagalan pentadbiran terdahulu melakukan pemulihan.