Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 8.6% daripada pekerja di Malaysia menerima gaji bulanan bernilai RM10,000 ke atas pada bulan September 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa 8.8% daripada jumlah pekerja menerima ubah bulanan bawah RM1,700 pada September 2025, merosot sebanyak 13.5% berbanding September 2024.
Beliau turut menyatakan bahawa 10% pekerja Malaysia menerima gaji terendah sebanyak RM1,700 atau kurang setiap bulan, manakala pekerja dalam persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan.
Menurut Mohd Uzir, perbezaan ini menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lima kali ganda gaji daripada kumpulan penerima gaji terendah, sekali gus mencerminkan jurang ketara antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah.
Pada masa yang sama, DOSM memaklumkan bahawa median gaji bulanan melibatkan 7.06 juta pekerja formal berjumlah RM2,864 pada September 2025, mencatatkan kenaikan sebanyak 4.3% tahun ke tahun berbanding RM2,745 pada tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut disokong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil seiring dengan pertambahan bilangan pekerja.
Pasaran buruh Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5% bagi suku ketiga 2025, sekali gus menandakan peluang pekerjaan di Malaysia kekal berdaya tahan.
Dari aspek jantina, pekerja lelaki merangkumi 55.1% atau seramai 3.89 juta orang daripada jumlah keseluruhan pekerja formal pada September 2025.
Statistik menunjukkan median gaji bulanan lelaki adalah lebih tinggi sebanyak RM2,900 berbanding pekerja perempuan yang merangkumi 3.17 juta orang atau 44.9% hanya menerima gaji sebanyak RM2,800.
Sementara itu, statistik penerimaan gaji mengikut kumpulan umur menunjukkan pekerja berumur 45 hingga 49 tahun merekodkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku tahun ketiga 2025.
Mengikut negeri pula, Kuala Lumpur mencatatkan median upah tertinggi iaitu RM4,064, diikuti Selangor (RM3,127) dan Pulau Pinang (RM2,927).
Sementara itu, Kelantan dan Perlis merekodkan median upah bulanan terendah iaitu RM1,800, manakala Sabah dan Kedah masing-masing sekitar RM2,000 bagi tempoh yang sama.



























































