Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin menyaksikan lonjakan besar aliran keluar daripada dompet pelombong pada awal Februari, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan pelabur.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $66,286 iaitu positif 0.03% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Dalam tempoh dua hari sahaja, hampir 49,000 BTC dipindahkan termasuk 28,605 BTC pada 5 Februari dan 20,169 BTC sehari selepas itu, menurut data firma analitik onchain CryptoQuant.
Nilainya mencecah berbilion dolar, sekali gus menjadikannya antara pergerakan terbesar sejak November tahun lalu.
Situasi ini berlaku ketika harga Bitcoin berayun tajam, daripada sekitar $62,809 sebelum melonjak semula melepasi $70,000.
Dalam keadaan pasaran tidak menentu, pemindahan besar daripada pelombong sering dianggap sebagai isyarat awal tekanan jualan.
Namun, angka ‘miner outflow’ tidak semestinya bermaksud semua BTC tersebut dijual di pasaran terbuka.
Ia juga boleh melibatkan pemindahan dalaman, penyusunan semula dompet atau pergerakan kepada entiti lain.
Menariknya, jumlah yang dipindahkan jauh melebihi pengeluaran bulanan beberapa pelombong awam utama seperti CleanSpark dan Canaan, yang secara keseluruhan menghasilkan sekitar 2,377 BTC sepanjang Januari.
Ini menunjukkan pergerakan besar itu mungkin datang daripada pemain lain dalam ekosistem, bukan semata-mata jualan panik oleh syarikat tersenarai.
Pada masa sama, ribut musim sejuk di Amerika Syarikat turut menjejaskan kadar hash rangkaian Bitcoin apabila operasi perlombongan dikurangkan sementara waktu.
Namun, hashrate kembali pulih pada awal Februari, menandakan rangkaian kekal stabil.

























































