Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Syarikat induk Google, Alphabet semakin hampir memuktamadkan penerbitan bon global melebihi $30 bilion, meningkat daripada $20 bilion yang dikumpul sejak Isnin lalu.
Syarikat gergasi teknologi itu semalam menyasarkan pasaran Eropah untuk mengumpul sekitar $11 bilion dalam mata wang sterling dan franc Switzerland.
Bloomberg sebelum ini melaporkan jumlah tersebut hampir mencecah $32 bilion.
Permintaan pelabur terhadap bon berkualiti tinggi syarikat teknologi yang menerajui bidang kecerdasan buatan (AI) dilihat semakin meningkat, menurut sumber berkenaan.
Dalam laporan pendapatan minggu lalu, Alphabet mengumumkan rancangan perbelanjaan modal sehingga $185 bilion tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda daripada anggaran perbelanjaan modal (capex) mereka pada 2025.
Kumpulan hyperscaler lain seperti Amazon, Meta dan Microsoft dijangka membelanjakan hampir $700 bilion secara kolektif pada tahun 2026.
Menurut penganalisis, pelaburan besar dalam cip mahal, pusat data dan teknologi rangkaian dijangka menjejaskan aliran tunai bebas syarikat teknologi tahun ini.
Oracle telah membuka tirai pasaran bon 2026 dengan tawaran $25 bilion minggu lalu, manakala Meta juga sedang mempersiapkan penerbitan bon besar bagi memacu pembangunan pusat data di Amerika Syarikat (AS).
Alphabet sebelum ini menjual bon bernilai $25 bilion pada November, menyaksikan hutang jangka panjangnya melonjak empat kali ganda pada 2025 kepada $46.5 bilion.
Ketua Pegawai Kewangan Google, Anat Ashkenazi menegaskan dalam panggilan pendapatan bahawa syarikat menguruskan pelaburan secara bertanggungjawab dan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh.
Walau bagaimanapun, tekanan untuk melabur besar-besaran dalam infrastruktur AI jelas memaksa Alphabet dan syarikat teknologi lain untuk menaikkan paras hutang.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada strategi tersebut berbaloi atau bakal membebankan aliran tunai mereka dalam jangka masa sederhana.
Alphabet tidak memberikan sebarang maklum balas apabila diminat mengulas lanjut.

























































