Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) kini dalam proses mengundurkan hampir 1,000 anggota tenteranya dari Syria, menurut Wall Street Journal (WSJ) yang memetik tiga pegawai kanan AS.
Langkah ini bermula dengan penarikan tentera dari pangkalan al-Tanf di selatan Syria, berdekatan sempadan Iraq dan Jordan, yang sebelum ini menjadi pusat operasi utama menentang ISIL.
Pihak CENTCOM menyifatkan pengunduran itu sebagai ‘pemberhentian tertib’ dan sebahagian daripada peralihan berasaskan syarat.
Bagaimanapun, WSJ melaporkan bahawa pengunduran dalam skala lebih besar dijangka berlaku dalam tempoh dua bulan akan datang.
Pentadbiran Trump telah mempertimbangkan langkah ini sejak Januari lalu, meskipun ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak.
Menariknya, keputusan pengunduran tentera ini tidak berkaitan langsung dengan peningkatan kehadiran tentera laut dan udara AS di Timur Tengah akibat ancaman terhadap Iran.
Kapal pengangkut pesawat USS, Gerald R Ford sedang menuju ke rantau tersebut sebagai sebahagian daripada respons ketenteraan yang lebih tegas.
Sebaliknya, pegawai AS menyatakan penarikan tentera ini berpunca daripada perjanjian baharu yang bertujuan membentuk semula struktur keselamatan Syria.
Perjanjian tersebut menyasarkan integriti Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai oleh kumpulan Kurdish, rakan kongsi utama AS dalam perang menentang ISIL, ke dalam tentera rasmi Syria.
Pengaturan ini berlaku selepas pasukan kerajaan Syria di bawah Presiden sementara Ahmed al-Sharaa berusaha menegaskan kawalan ke atas wilayah timur laut yang dikuasai SDF.
Pertempuran yang tercetus sebelum ini antara kedua-dua pihak telah menimbulkan risiko konfrontasi yang lebih besar di kawasan itu.
Perjanjian yang dimeterai pada 29 Januari lalu membuka jalan kepada gencatan senjata rapuh dan rundingan integrasi kedua-dua pihak.
AS menggambarkan langkah ini sebagai usaha ke arah perpaduan dan kestabilan nasional setelah bertahun-tahun Syria berdepan perpecahan.
Namun, persoalan besar tetap timbul, adakah pengunduran ini benar-benar mewakili strategi jangka panjang AS dalam menangani konflik Syria dan pengaruh Iran di Timur Tengah, atau sekadar langkah mundur akibat tekanan geopolitik?
Dalam keadaan ketegangan yang kian memuncak, keputusan ini berpotensi membuka ruang kepada pengaruh kuasa lain di Syria dan mengikis kehadiran AS yang selama ini dianggap sebagai faktor penstabil di rantau itu.


























































