Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya menyebut bekalan tenaga Malaysia dijangka kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Jun.
Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar tenaga, struktur pasaran menunjukkan negara ini masih bergantung kepada import bersih berikutan produk tenaga yang dihasilkan adalah berkualiti premium dengan kos lebih tinggi.
Dalam masa sama, kerajaan memberi peringatan bahawa kestabilan bekalan tidak bermakna harga akan kekal stabil. Ketidaktentuan pasaran tenaga global, khususnya dipengaruhi faktor geopolitik, berpotensi menyebabkan gangguan harga dalam tempoh terdekat, terutama bagi bulan Mei dan Jun.
Kedudukan Malaysia yang masih mampu mengekalkan bekalan stabil banyak disokong oleh kekuatan Petroliam Nasional Berhad.
Rangkaian global serta hubungan jangka panjang dengan negara pengeluar minyak utama membantu memastikan aliran bekalan tidak terjejas walaupun pasaran global berdepan tekanan.
Selain itu, sektor gas asli cecair terus menjadi penyumbang utama kepada keterjaminan tenaga negara.
Malaysia bukan sahaja bergantung kepada pengeluaran domestik, malah turut disokong oleh import dari Australia melalui perjanjian jangka panjang serta operasi luar negara termasuk di Kanada. Gabungan ini mengukuhkan kapasiti bekalan tenaga negara dalam jangka sederhana.
Dalam perkembangan lain, Malaysia turut memperluas kerjasama strategik dengan Turkiye merangkumi sektor tenaga dan semikonduktor. Usaha ini dilihat sebagai langkah memperkukuh rantaian bekalan serta mengurangkan risiko kebergantungan kepada pasaran tertentu.
Turkiye pula sedang meningkatkan keupayaan tenaga domestiknya dengan pertumbuhan ketara dalam pengeluaran minyak dan gas, dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada import yang kini merangkumi sebahagian besar keperluan tenaga negara itu.
Malaysia berada dalam kedudukan yang stabil dari segi bekalan tenaga buat masa ini. Namun, tekanan harga akibat faktor global kekal menjadi risiko utama yang perlu diberi perhatian dalam tempoh terdekat. – Bernama



























































