Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Iran dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan ‘tol’ kepada kapal yang melalui Selat Hormuz, dan bayaran itu bukan dalam dolar, tetapi dalam Bitcoin.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $70,559 iaitu positif 0.03% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Cadangan ini muncul sejurus selepas perkembangan penting melibatkan Amerika Syarikat dan Iran yang bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu.
Perjanjian itu membuka semula laluan strategik Selat Hormuz, jalan utama penghantaran minyak dunia yang sebelum ini terjejas akibat konflik ketenteraan.
Namun, di sebalik pembukaan semula laluan ini, Iran dilihat tidak melepaskan peluang untuk memperkenalkan pendekatan baharu yang berpotensi mengubah landskap perdagangan global.
Menurut laporan, kapal tangki kosong akan dibenarkan melalui selat tersebut tanpa sebarang bayaran.
Namun, bagi kapal yang membawa minyak, mereka perlu membayar caj sebanyak $1 bagi setiap tong minyak dan yang paling mencuri perhatian, bayaran ini perlu dibuat dalam bentuk Bitcoin.
Ini bermakna, sebuah kapal yang membawa jutaan tong minyak mungkin perlu membayar jutaan dolar dalam bentuk aset digital hanya untuk melalui laluan tersebut.
Dengan menggunakan Bitcoin, transaksi dapat dilakukan dengan pantas dalam masa beberapa saat, dan yang lebih penting, ia sukar dikesan atau disekat oleh pihak luar.
Dalam konteks ini, penggunaan mata wang kripto memberi Iran kelebihan untuk mengelakkan tekanan sekatan ekonomi yang telah lama dikenakan oleh negara Barat.
Namun, tidak semua kapal boleh melaluinya dengan mudah. Iran dilaporkan akan melakukan penilaian terhadap setiap kapal yang ingin menggunakan laluan tersebut, termasuk memastikan ia tidak membawa senjata.
Hanya selepas lulus pemeriksaan, kapal akan diberi kebenaran untuk membuat bayaran dan meneruskan perjalanan.
Harga minyak mentah melonjak melebihi $100 setong buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Pada masa sama, pasaran kripto turut mengalami turun naik ketara, dengan Bitcoin bergerak dalam julat harga antara $65,000 hingga $75,000.
Menariknya, ini bukan kali pertama Iran menggunakan mata wang kripto sebagai alat ekonomi. Sebelum tercetusnya konflik, negara itu telah pun memanfaatkan aset digital untuk mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan tradisional.
Dengan mata wangnya, rial, yang semakin lemah, Iran dilihat semakin agresif menggunakan kripto sebagai alternatif untuk mengekalkan kestabilan ekonomi.





















































