Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga Bitcoin jatuh di bawah paras $71,000, mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan pelabur global dan kejatuhan ini bukan sekadar pergerakan teknikal biasa, tetapi berpunca daripada ketegangan geopolitik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $71,113 iaitu menurun 0.03% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Segalanya bermula apabila rundingan penting antara kedua-dua negara yang berlangsung di Islamabad, Pakistan gagal mencapai kata sepakat, khususnya berkaitan isu program nuklear Iran.
Kegagalan ini mencetuskan ketidakpastian baharu, lebih-lebih lagi selepas Donald Trump mengeluarkan kenyataan tegas bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk menyekat laluan strategik dunia, iaitu Selat Hormuz.
Sebarang gangguan di kawasan ini mampu melonjakkan harga minyak secara mendadak, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi di seluruh dunia.
Malah, penganalisis sudah menjangkakan bahawa kadar inflasi Amerika Syarikat boleh melonjak melebihi 4% sekiranya konflik ini berlarutan.
Dalam suasana penuh ketidaktentuan ini, pelabur mula mengambil langkah berhati-hati dengan menjual aset berisiko tinggi seperti kripto. Bitcoin, sebagai aset paling dominan dalam pasaran, menjadi mangsa utama apabila mengalami penurunan sekitar 3% dalam tempoh singkat.
Lebih memburukkan keadaan, data pasaran menunjukkan hampir $350 juta posisi ‘long’ telah dilikuidasi dalam tempoh 24 jam.
Tidak seperti pasaran saham tradisional yang mempunyai waktu dagangan terhad, kripto beroperasi 24 jam tanpa henti. Ini menjadikan Bitcoin sebagai ‘barometer awal’ kepada sentimen risiko global.
Apabila berita buruk muncul, kripto akan jatuh terlebih dahulu sebelum aset lain sempat bertindak balas. Namun di sebalik kejatuhan ini, terdapat juga pandangan yang lebih optimistik.
Sesetengah penganalisis percaya bahawa jika konflik ini melemahkan ekonomi global, pihak Federal Reserve mungkin tidak mempunyai pilihan selain melonggarkan dasar monetari, termasuk mencetak lebih banyak wang untuk merangsang ekonomi.
Senario ini secara tidak langsung boleh memberi kelebihan kepada Bitcoin dalam jangka panjang, kerana aset digital sering mendapat manfaat daripada peningkatan kecairan dalam sistem kewangan.
Buat masa ini, semua mata tertumpu kepada perkembangan seterusnya, sama ada konflik akan mereda melalui diplomasi atau terus memuncak menjadi krisis yang lebih besar.
Data ekonomi seperti inflasi pengeluar (PPI) dan ucapan pegawai bank pusat juga akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah pasaran seterusnya.


























































