Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi bayangan bahawa konflik ketenteraan dengan Iran kini hampir ke penghujung, namun dengan fasa serangan yang lebih agresif dalam masa terdekat.
Kenyataan itu segera mencetuskan reaksi pantas dalam pasaran, menyaksikan harga minyak melonjak melepasi paras psikologi $100 setong, manakala Bitcoin pula tergelincir.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $66,590 iaitu positif 0.13% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Dalam ucapannya, Trump menyatakan bahawa operasi ketenteraan AS hampir mencapai semua objektif utama dan memberi amaran bahawa serangan ‘sangat kuat’ akan dilancarkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang jika tiada perjanjian dicapai.
Nada tegas ini meningkatkan kebimbangan pelabur terhadap risiko geopolitik, sekali gus mendorong lonjakan harga minyak kepada sekitar $103.59 setong.
Dalam masa sama, Bitcoin jatuh kira-kira 2%, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur terhadap aset berisiko.
Ketegangan ini tidak boleh dipisahkan daripada situasi di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia yang sebelum ini disekat oleh Iran.
Gangguan terhadap laluan ini memberi kesan besar kepada bekalan global, menjadikan harga minyak sangat sensitif terhadap sebarang perkembangan konflik.
Walaupun Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa perang mungkin akan berakhir dalam masa terdekat, kenyataan terbaharunya jelas mengubah jangkaan pasaran.
Namun di sebalik retorik keras, rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
Amerika Syarikat menuntut Iran menghentikan program nuklear dan membuka semula laluan perdagangan, manakala Iran pula mahukan penamatan perang sepenuhnya serta pampasan.
Trump turut menyatakan keyakinan bahawa sekatan di Selat Hormuz akan berakhir secara semula jadi apabila konflik reda, sekali gus membolehkan harga minyak dan pasaran kewangan kembali stabil.


























































