Harga Bitcoin kembali jatuh di bawah paras psikologi $60,000, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap masa depan pasaran kripto.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $60,700 iaitu menyusut 0.02% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Salah satu punca utama ialah kebimbangan terhadap Strategy, syarikat yang diketuai oleh Michael Saylor.
Strategy merupakan pembeli Bitcoin korporat terbesar di dunia dan selama ini menjadi penyokong utama kenaikan harga Bitcoin dengan membeli aset tersebut secara agresif menggunakan dana yang diperoleh melalui penerbitan saham dan sekuriti.
Kini, model pembiayaan Strategy mula dipersoalkan selepas kejatuhan harga Bitcoin menyebabkan syarikat itu menanggung kerugian belum direalisasikan bernilai berbilion dolar.
Pelabur mula bimbang sama ada Strategy masih mampu meneruskan pembelian Bitcoin pada kadar yang sama seperti sebelum ini.
Dalam masa yang sama, minat pelabur runcit terhadap Bitcoin turut semakin berkurangan.
Ramai pelabur kecil kini dilaporkan mengalihkan modal mereka kepada saham-saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan pulangan lebih menarik.
Akibatnya, pasaran Bitcoin kehilangan dua kumpulan pembeli utama iaitu pelabur runcit dan Strategy.
Ini menyebabkan tekanan jualan menjadi lebih besar kerana tidak ramai pembeli baharu yang sanggup menyerap bekalan Bitcoin di pasaran.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila hampir $800 juta posisi beli (long positions) dalam pasaran kripto dilikuidasikan dalam tempoh 24 jam.
Selain itu, pasaran turut bersedia menghadapi tamat tempoh kontrak opsyen Bitcoin bernilai kira-kira $10 bilion, yang berpotensi meningkatkan lagi turun naik harga.
Bitcoin turut gagal memainkan peranan sebagai aset lindung nilai ketika ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan kebimbangan inflasi meningkat.
Pada masa yang sama, jangkaan bahawa kadar faedah AS akan kekal tinggi lebih lama turut mengurangkan daya tarikan Bitcoin sebagai pelindung daripada inflasi.
























































