Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran kripto digemparkan apabila Bitcoin menjunam di bawah paras $88,000, sekali gus menghapuskan semua keuntungan yang direkodkan sejak awal 2026.
Pada pukul 2:15 petang ini, harga Bitcoin dibuka pada $89,904 iaitu turun kira-kira 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Dalam tempoh hanya 48 jam, lebih $1.8 bilion posisi dagangan dilikuidasi, majoritinya melibatkan pelabur yang menjangkakan harga akan terus naik.
Kejatuhan ini bukan berlaku secara bersendirian. Secara keseluruhan, pasaran kripto kehilangan kira-kira $225 bilion nilai, penurunan terbesar sejak pertengahan November lalu.
Bitcoin kini turut berada di bawah paras sokongan penting teknikal, menandakan tekanan jualan semakin kuat.
Penganalisis mengaitkan kejatuhan ini dengan sentimen ‘Sell America’, susulan ancaman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Namun, faktor yang lebih besar sebenarnya datang dari Jepun. Pasaran bon Jepun mengalami pergolakan luar biasa apabila hasil bon kerajaan melonjak mendadak, mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan global.
Situasi ini menyebabkan aliran modal global menjadi semakin ketat. Apabila kecairan berkurang, pelabur mula menjual aset berisiko termasuk Bitcoin.
Berbeza dengan emas yang melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa, Bitcoin masih dilihat sensitif terhadap keadaan pasaran dan kekurangan aliran tunai.
Kejatuhan Bitcoin kali ini bukan semata-mata isu kripto, tetapi cerminan ketegangan pasaran global.
Selagi ketidaktentuan ini berlarutan, turun naik dijangka terus menghantui pasaran digital.





















































