Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan bahawa perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran hampir dimuktamadkan.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $77,087 iaitu positif 0.15% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Kenyataan itu meningkatkan sentimen pelabur dan membantu pasaran kripto menambah kira-kira $75 bilion nilai pasaran.
Trump memaklumkan menerusi platform Truth Social bahawa perjanjian tersebut telah ‘sebahagian besarnya dirundingkan’ melibatkan AS, Iran serta beberapa negara lain seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir, Jordan dan Bahrain.
Namun, beberapa butiran akhir masih sedang dibincangkan sebelum diumumkan secara rasmi.
Salah satu fokus utama perjanjian itu ialah pembukaan semula Selat Hormuz.
Laluan laut tersebut sangat penting kepada perdagangan minyak dunia, dan ketegangan di kawasan itu sebelum ini menyebabkan harga tenaga global meningkat.
Keadaan tersebut turut menjejaskan aset berisiko tinggi seperti kripto kerana pelabur menjadi lebih berhati-hati.
Selepas pengumuman Trump, pasaran kripto menunjukkan reaksi positif.
Harga Bitcoin yang sebelum ini jatuh ke paras terendah lima minggu sekitar $74,250 kembali melonjak hampir $77,000 sebelum stabil sekitar $76,800.
Walaupun terdapat pemulihan jangka pendek, Bitcoin masih berada dalam aliran menurun selepas gagal menembusi paras rintangan $82,000.
Harga semasa juga masih jauh lebih rendah berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada Oktober lalu.
Selain itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio turut menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan Selat Hormuz perlu dibuka tanpa sebarang sekatan atau caj tambahan.
























































