Lebih 70% penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia kini telah menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi kecerdasan buatan (AI), menunjukkan teknologi itu semakin menjadi sebahagian daripada operasi harian sektor kewangan negara, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Menurut beliau, maklum balas terhadap Kertas Perbincangan AI dalam Sektor Kewangan Malaysia menunjukkan AI kini digunakan secara meluas untuk meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti serta memperkukuh pengurusan risiko dalam institusi kewangan.
BNM turut menggesa industri beralih daripada sekadar menggunakan AI bagi meningkatkan operasi dalaman kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem kewangan.
Antara cabaran utama yang perlu ditangani secara bersama ialah penipuan kewangan, scam dan ancaman keselamatan siber.
Bagi memperkukuhkan perlindungan pengguna, BNM bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), PayNet serta institusi kewangan untuk berkongsi risikan, mempertingkat langkah keselamatan dan membendung jenayah kewangan.
Kerjasama ini dilihat penting bagi mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan negara.
Selain AI, BNM memaklumkan rangka kerja kewangan terbuka (Open Finance) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan bagi membolehkan perkongsian data kewangan yang lebih selamat dengan persetujuan pengguna.
Pada masa sama, pelan tindakan tokenisasi aset turut memasuki fasa perintis menerusi Hab Inovasi Aset Digital.
Ke hadapan, BNM sedang merangka Pelan Sektor Kewangan 2027 hingga 2030 bagi memastikan sistem kewangan negara kekal berdaya saing, selamat dan selari dengan perubahan teknologi serta keperluan ekonomi masa hadapan.

























































