Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat pertamanya bagi tahun ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada paras 2.75 peratus.
Bank Negara Malaysia memaklumkan bahawa pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal sesuai dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2025 dijangka berada pada paras atas julat unjuran antara empat hingga 4.8 peratus, dengan momentum pertumbuhan tersebut dijangka berterusan pada 2026. Prospek ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang kekal berdaya tahan.
Perbelanjaan isi rumah dijangka terus disokong oleh keadaan guna tenaga yang stabil, pertumbuhan upah serta pelaksanaan langkah dasar berkaitan pendapatan. Aktiviti pelaburan pula dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam berskala kecil, kesinambungan pelaburan yang telah diluluskan serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.
Sektor luaran dijangka mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik yang kekal kukuh, selain peningkatan perbelanjaan pelancong.
Bank Negara Malaysia turut memaklumkan bahawa inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.4 peratus dan dua peratus tahun lalu. Bagi tahun 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, disokong oleh keadaan kos global yang terus reda.
Harga komoditi global dijangka kekal sederhana dan menyumbang kepada kos dalam negeri yang terkawal. Dalam masa sama, inflasi teras pada 2026 dijangka stabil dan hampir dengan purata jangka panjang, mencerminkan pengembangan ekonomi yang berterusan tanpa tekanan permintaan berlebihan.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan serta inflasi dalam negeri.
Kali terakhir Bank Negara Malaysia mengubah kadar OPR adalah pada Julai lalu, apabila kadar tersebut diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada tiga peratus.
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang seterusnya dijadualkan berlangsung pada 5 Mac 2026.






















































