Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Sentimen pasaran global pagi ini (Jumaat) berada dalam keadaan cemas susulan amaran awal mengenai keretakan ‘gelembung AI’ yang mula menjejaskan nilai aset utama di seluruh dunia.
Kejatuhan serentak saham teknologi dan komoditi berharga seperti emas mencetuskan tanda tanya dalam kalangan komuniti pelabur tentang kestabilan ekonomi semasa.
Wall Street Merudum, Nasdaq Terjun 2%
Pasaran saham Amerika Syarikat ditutup rendah semalam dengan indeks Nasdaq mencatatkan kejatuhan 2%, manakala S&P 500 susut 1.6%.
Penjualan besar-besaran ini didorong oleh kebimbangan pelabur terhadap pulangan pelaburan (ROI) syarikat gergasi teknologi yang dianggap tidak setimpal dengan kos berbilion ringgit yang dibelanjakan untuk infrastruktur AI.
Syarikat “Magnificent Seven” termasuk Nvidia, Apple, Microsoft, dan Amazon berdepan tekanan jualan yang menyaksikan nilai pasaran mereka hilang berbilion dolar dalam satu sesi.
Sektor bukan teknologi seperti logistik, kewangan, dan hartanah turut terpalit. Pelabur bimbang model perniagaan tradisional akan terganggu atau hilang relevan akibat kepantasan automasi AI.
Emas dan Perak Hadapi Ketidaktentuan?
Walaupun emas lazimnya dianggap sebagai aset pelindung nilai (safe haven), harga logam kuning itu jatuh mendadak pagi ini.
Lebih parah, harga perak dilaporkan terjun sehingga 9% dalam tempoh singkat.
Kejatuhan harga saham AI memaksa pelabur mencari tunai segera bagi menampung kerugian. Ini mencetuskan jualan kecemasan ke atas aset cecair seperti emas untuk membayar tuntutan modal (margin call) daripada pihak broker.
Penggunaan bot perdagangan AI mempercepatkan kejatuhan harga.
Sebaik sahaja emas melepasi paras sokongan psikologi, algoritma ini mencetuskan arahan jual secara automatik, sekali gus memburukkan lagi keadaan pasaran.
Secara keseluruhan, pasaran kini sedang mengalami fasa pembetulan yang drastik.
Ketidaktentuan ini bukan sahaja disebabkan oleh kebimbangan terhadap nilai sebenar keuntungan teknologi AI, malah ia dicetuskan oleh tindakan pelabur yang terpaksa menjual aset selamat seperti emas demi menampung kerugian dalam pasaran saham.
























































