Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
China mula laksanakan had kuota import daging lembu bermula 1 Januari 2026, termasuk dari Australia. Import yang melebihi kuota dikenakan tarif tinggi sehingga 55% selama tiga tahun.
Polisi ini bukan saja menyekat pengimport utama seperti Australia, Brazil dan Amerika Syarikat, malah membayangi rantaian bekalan makanan global.
Australia, pembekal utama daging lembu ke China, terancam kehilangan sebahagian besar pasaran. Tahun lalu, eksport daging lembu Australia ke China mencecah 295,000 tan. Mulai tahun ini hanya 200,000 tan dibenarkan tanpa tarif.
Ini bermakna lebih sepertiga eksport daging lembu Australia berisiko dikenakan tarif berat yang menggugat hasil industri bernilai berbilion dolar.
Lebih teruk, produk premium seperti wagyu dan Angus mungkin akan terpinggir. Jika kuota dipenuhi terlebih dahulu oleh daging bernilai rendah, pengeluar premium terpaksa bersaing dalam pasaran yang semakin sempit, mengekang peluang mereka menjual pada harga tinggi.
Kerajaan Australia melihat tindakan China ini bertentangan dengan semangat perjanjian perdagangan dua hala China–Australia Free Trade Agreement (ChAFTA) yang menjanjikan akses bebas tarif. Industri pula memberi amaran kesan ‘teruk’ terhadap pendapatan penternak dan kestabilan rantaian bekalan.
Dalam masa sama, China membuka semula pasaran kepada beberapa negara lain seperti Ireland selepas sekatan lama ditarik balik. Ini menunjukkan Beijing sedang mengimbangi keperluan bekalan dengan keinginan melindungi penternak tempatan.





























































