Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan China mengecam Mahkamah Agung Panama selepas badan itu memutuskan pembatalan lesen ke atas CK Hutchison, sebuah syarikat di Hong Kong yang mengendalikan pelaburan di Terusan Panama.
China memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) bakal membayar ‘harga yang tinggi’ dari segi politik dan ekonomi sekiranya mereka tidak mengubah haluan.
Keputusan tersebut dilihat sebagai kemenangan besar buat White House dalam mencapai matlamat Presiden Donald Trump di Hemisfera Barat.
Situasi ini berlaku selepas AS bertindak menyekat pengaruh China ke atas laluan air yang disifatkan sebagai keutamaan strategik mereka.
Menerusi satu ulasan di WeChat, Pejabat Hal Ehwal Majlis Negeri Hong Kong dan Macao menyifatkan keputusan itu sebagai ‘mengarut’ dan ‘tidak masuk akal.’
Sehubungan itu, kerajaan China dan Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Hong Kong sebulat suara menolak keputusan berkenaan.
Kedua-dua pihak turut menegaskan bahawa pihak berkuasa Panama perlu memandang isu ini dengan serius dan segera mengambil tindakan sewajarnya.
Mahkamah Agung Panama pada 29 Januari lalu mengisytiharkan bahawa kontrak operasi Panama Ports Co. (PPC) di Pelabuhan Balboa dan Cristobal adalah tidak sah di sisi perlembagaan.
Anak syarikat CK Hutchison tersebut didapati mengendalikan kedua-dua pelabuhan utama di Terusan Panama di bawah terma yang melanggar undang-undang tertinggi negara terbabit.
Keputusan itu dikeluarkan kira-kira setahun selepas Trump mengancam untuk merampas kawalan ke atas Terusan Panama.
Beliau juga menegaskan bahawa laluan air itu amat penting kepada AS dan mendakwa terusan tersebut kini dikendalikan oleh China.


























































