Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Menurut peraturan ketenteraan Denmark, negara itu akan melancarkan tembakan terlebih dahulu sekiranya Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk menyerang Greenland.
Rancangan itu diambil susulan rancangan Presiden Donald Trump dan penasihat tertingginya untuk membeli Greenland dan mengambil alih aset pertahanan pulau berkenaan.
Ketegangan semakin memuncak minggu ini susulan ancaman pentadbiran Trump untuk menggerakkan tentera AS bagi mengambil alih pulau tersebut.
Ancaman daripada Washington terus dipertingkatkan meskipun pemimpin Eropah, termasuk Sir Keir Starmer memberi amaran bahawa mereka tidak akan berhenti untuk mempertahankan Greenland.
Kementerian Pertahanan Denmark semalam mengesahkan kewujudan peraturan tahun 1952 yang mewajibkan angkatan tenteranya menyerang sebarang pasukan penceroboh dengan serta-merta tanpa menunggu arahan daripada pihak berkuasa pusat.
Pengesahan itu dibuat selepas akhbar Denmark, Berlingske mempersoalkan status peraturan tersebut.
Menurut laporan Berlingske, peraturan itu menetapkan bahawa sekiranya berlaku pencerobohan, pasukan yang diserang mesti segera memulakan pertempuran tanpa menunggu arahan, walaupun para komander belum menerima sebarang pengisytiharaan rasmi mengenai keadaan perang.
Walau bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa matlamat AS untuk merampas Greenland daripada Denmark adalah demi melindungi pakatan NATO daripada ancaman China dan Rusia di Artik.
Sekutu Eropah kini sedang mengadakan rundingan penting bagi membincangkan tindakan segera sekiranya AS benar-benar melancarkan serangan.



























































