Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas meneruskan rentak tingginya sejak minggu lepas dan sempat memecahkan rekod tertingginya pada $5,110 apabila momentum di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat khususnya mengenai konflik geopolitik dan ketentuan dasar monetari Fed.
Pada jam 9.20 pagi, harga emas berada pada paras $5,064 iaitu naik 1.16% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Pelabur besar-besaran beralih pantas ke aset selamat apabila kebimbangan meningkat terhadap ketegangan hubungan Amerika Syarikat dengan sekutu utamanya, termasuk Eropah dan Kanada.
Ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas barangan Kanada sekiranya negara itu mencapai perjanjian perdagangan dengan China mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kebangkitan semula perang perdagangan global.
Dalam masa yang sama, kebimbangan terhadap kebebasan Federal Reserve (Fed) turut menyokong kenaikan harga emas. Pasaran menanti calon pilihan Trump bagi jawatan Pengerusi Fed yang baharu selepas beliau mengesahkan proses temu bual telah selesai.
Pelantikan pengerusi yang lebih cenderung kepada dasar longgar berpotensi meningkatkan jangkaan pemotongan kadar faedah lanjut tahun ini, sekali gus memberi sokongan kepada harga emas.
Kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos lepas memegang emas, menjadikan logam berharga itu lebih menarik dalam persekitaran ketidaktentuan dasar dan geopolitik, walaupun ia tidak menawarkan pulangan faedah.
Perhatian pasaran kini tertumpu kepada keputusan dasar monetari Fed pada awal pagi Khamis. Bank pusat AS dijangka mengekalkan kadar faedah penanda aras pada julat 3.50 hingga 3.75 peratus.
Kenyataan Pengerusi Fed, Jerome Powell selepas mesyuarat akan dipantau rapi bagi mendapatkan hala tuju dasar untuk tempoh akan datang. Nada yang lebih agresif berpotensi mengukuhkan dolar AS dalam jangka pendek dan memberi tekanan kepada harga komoditi yang didenominasikan dalam dolar.



















































