Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ketegangan di Timur Tengah memuncak selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk memperluaskan sasaran serangan ke atas infrastruktur awam Iran, termasuk jambatan dan loji kuasa elektrik. Amaran ini menyusuli kemusnahan jambatan B1 berhampiran Tehran dalam satu serangan udara yang mengorbankan lapan nyawa, menandakan fasa peperangan yang lebih destruktif.
Terdapat laporan daripada agensi berita Tasnim yang mendakwa sebuah jet pejuang F-35 milik Amerika Syarikat telah ditembak jatuh di ruang udara tengah Iran. Walaupun Pusat Pemerintahan AS (CENTCOM) belum mengeluarkan kenyataan rasmi, imej serpihan pesawat yang tersebar di media sosial menunjukkan bukti penglibatan aset udara AS dalam zon konflik tersebut.
Kesan konflik ini mula melimpah ke negara jiran apabila kemudahan gas Hadshan di Abu Dhabi terpaksa menghentikan operasi akibat kebakaran berpunca daripada serpihan peluru berpandu yang dipintas. Serangan dron turut dilaporkan melanda penapis minyak Mina al-Ahmadi di Kuwait, sekali gus mengancam kestabilan bekalan tenaga di seluruh rantau Teluk.
Di peringkat antarabangsa, draf resolusi PBB yang bertujuan membenarkan tindakan ketenteraan bagi melindungi laluan perdagangan di Selat Hormuz dilihat gaga. Ini walaupun disokong oleh negara-negara Arab (GCC), kuasa besar dunia iaitu China, Rusia, dan Perancis bertindak menggunakan kuasa veto bagi menghalang campur tangan ketenteraan yang lebih luas terhadap Iran.
Pakar undang-undang antarabangsa memberi amaran bahawa ancaman Trump untuk menyasarkan loji kuasa dan kemudahan awam boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang. Tindakan menyasarkan objek yang sangat penting untuk kelangsungan hidup orang awam melanggar protokol antarabangsa, namun Washington tetap bertegas untuk meneruskan tekanan maksimum sehingga Iran akur.























































