Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Suruhanjaya Eropah telah memulakan siasatan terhadap platform X milik Elon Musk berikutan kes melibatkan aplikasi kecerdasan buatannya (AI), Grok yang digunakan untuk menghasilkan imej berunsur seksual melibatkan individu sebenar.
Langkah ini menyusuli pengumuman serupa pada awal Januari lalu oleh badan pengawas United Kingdom (UK), Ofcom.
Sekiranya laman web tersebut didapati melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU) di bawah Akta Perkhidmatan Digital, pihak suruhanjaya boleh mengenakan denda terhadap syarikat itu sehingga 6% daripada perolehan tahunan globalnya.
Menerusi satu kenyataan daripada akaun keselamatan X sebelum ini, platform media sosial itu mendakwa telah menyekat Grok daripada mengubah suai gambar orang ramai secara digital untuk menghasilkan imej tidak berpakaian yang menyalahi undang-undang.
Seorang Ahli Parlimen Eropah, Regina Doherty menyatakan bahawa pihak suruhanjaya akan menilai sama ada imej lucah yang dimanipulasi telah dipaparkan kepada pengguna di Eropah.
Sementara itu, para aktivis dan mangsa yang terlibat dalam kes tidak bermoral itu menyifatkan keupayaan untuk menghasilkan gambar-gambar lucah sedemikian seharusnya tidak dibenarkan berlaku sama sekali.
Sebelum pengumuman suruhanjaya dibuat, Musk telah memuat naik gambar di X yang dlihat seolah-olah memperkecilkan sekatan baharu terhadap aplikasi miliknya.
Pada masa yang sama, siasatan terhadap Grok turut dijalankan di Australia, Perancis dan Jerman.
Aplikasi itu pernah dilarang buat sementara waktu di Malaysia dan Indonesia, namun larangan tersebut kini telah ditarik balik.


























































