Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Fed Austan Goolsbee pada hari ini menyatakan bahawa Federal Reserve berpotensi menyambung pemotongan kadar faedah menjelang akhir 2026 sekiranya inflasi menunjukkan penurunan yang konsisten ke arah sasaran 2%. Namun begitu beliau menegaskan bahawa sebarang langkah pelonggaran dasar perlu disokong oleh bukti jelas, bukan sekadar jangkaan optimistik.
Inflasi kini masih sekitar 3% hingga 3.5%, kira-kira satu mata peratusan di atas sasaran bank pusat, dan kemajuannya sepanjang tahun lalu dianggap perlahan. Keadaan ini menyebabkan Goolsbee berhati-hati terhadap idea memulakan pemotongan kadar lebih awal.
Beliau secara khusus menolak hujah bahawa lonjakan produktiviti akibat pelaburan AI boleh membenarkan dasar monetari lebih longgar. Menurutnya, situasi semasa tidak sama seperti era Alan Greenspan pada 1990-an kerana inflasi kini telah lama berada di atas sasaran.
Goolsbee memberi amaran bahawa jika Fed bertindak berdasarkan jangkaan produktiviti yang terlalu optimistik, ekonomi boleh menjadi terlalu panas, mencetuskan ketidakseimbangan dan akhirnya membawa kepada kemelesetan apabila jangkaan tersebut tidak direalisasikan.
Beliau turut menunjukkan contoh di Iowa, di mana pelaburan pusat data berkaitan AI meningkatkan permintaan tenaga kerja sehingga menyebabkan kos dan tekanan harga meningkat dalam jangka pendek.
Fed dijangka mengekalkan kadar pada mesyuarat bulan Mac, dengan potensi pemotongan pada fasa separuh tahun keduan bergantung kepada sama ada inflasi benar-benar menunjukkan trajektori menurun yang kukuh dan mampan.





















































