Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bullion hadapi tekanan jualan di bawah paras $5,000 apabila pemain pasaran melihat kejatuhan mendadak, sambil memantau dengan teliti pengeluaran laporan inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) AS untuk Januari.
Pada jam 9.2o pagi, harga emas berada pada paras $4,974 iaitu memulih 1.07% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Kebimbangan terhadap perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) mencetuskan gelombang penjualan besar-besaran dalam pasaran kewangan global. Tekanan ini turut diperburuk oleh risiko panggilan margin, yang memaksa sebahagian pelabur menutup posisi bagi mendapatkan kecairan segera.
Langkah keluar posisi bukan sahaja melibatkan ekuiti, malah turut memberi kesan kepada komoditi termasuk logam berharga apabila pelabur menjual pegangan untuk menampung keperluan tunai.
Dalam masa sama, data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan mengukuhkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) tidak akan tergesa-gesa menurunkan kadar faedah.
Persekitaran kadar tinggi yang berpanjangan ini mengurangkan daya tarikan emas kerana logam tersebut tidak menawarkan pulangan hasil.
Data terkini menunjukkan Non-Farm Payrolls (NFP) meningkat sebanyak 130,000 pada Januari, selepas semakan kenaikan 48,000 pada Disember. Kadar pengangguran pula susut kepada 4.3% berbanding 4.4% sebelum ini, mencerminkan pasaran buruh yang masih stabil.
Tumpuan pasaran kini beralih kepada data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang bakal diterbitkan pada Jumaat. Bacaan utama dan teras dijangka meningkat 2.5% tahun ke tahun bagi Januari.
Sekiranya inflasi menunjukkan tanda-tanda perlahan, ia berpotensi menghidupkan semula jangkaan penurunan kadar faedah Fed dan menyokong kenaikan harga logam berharga dalam jangka masa terdekat. Sebaliknya, bacaan inflasi yang kekal tinggi boleh terus memberi tekanan kepada emas dan aset berisiko lain.






















































