Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI kekal pada paras RM1.99 seliter, meskipun harga minyak mentah global melonjak melebihi $100 setong akibat konflik di Asia Barat.
Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan keputusan ini sebagai langkah melindungi rakyat, terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Sementara itu, harga pasaran bahan api lain seperti RON97 dan diesel dinaikkan secara berperingkat.
Harga RON97 meningkat daripada RM3.85 kepada RM4.55 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia melonjak kepada RM4.72 seliter.
Sebaliknya, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan serta RON95 tanpa subsidi masing-masing kekal pada paras RM2.15 dan RM3.27 seliter.
MOF mengakui kerajaan menanggung beban subsidi melebihi RM3 bilion setiap bulan bagi mengekalkan harga BUDI95 dan diesel bersubsidi untuk pengangkutan awam serta barangan darat.
Subsidi bersasar ini terus melindungi lebih 400,000 kenderaan dalam sektor pengangkutan seperti bas ekspres, teksi dan lori. Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, harga domestik masih terikat dengan pasaran global.
Ketegangan geopolitik di Asia Barat dan ketidakpastian bekalan terus menjadi punca utama kenaikan harga minyak dunia.
Kerajaan MADANI mengambil pendekatan mengekalkan subsidi bagi mengelakkan bebanan harga dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat.
Namun, paradoksnya, kenaikan harga pasaran bahan api tetap berlaku secara agresif bagi produk bukan subsidi.
Hal ini menimbulkan persoalan berapa lama kerajaan mampu menanggung beban subsidi besar-besaran tanpa menjejaskan fiskal negara.
Walaupun harga bahan api di Malaysia antara yang terendah di rantau ini, langkah mengekalkan subsidi ini dikuatiri menjadi beban jangka panjang yang tidak mampan dalam mendepani ketidaktentuan pasaran minyak global.























































