Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Indeks S&P 500 dan Nasdaq Composite mencatatkan peningkatan untuk sesi keempat berturut-turut pada sesi dagangan Selasa.
Peningkatan itu disokong oleh sikap optimis pelabur yang menantikan laporan pendapatan syarikat gergasi teknologi, serta kemas kini daripada Federal Reserve (Fed) mengenai dasar kadar faedah pada minggu ini.
Kedua-dua indeks utama tersebut mencapai paras tertinggi dalam tempoh lebih seminggu, sekali gus mencatatkan rali kenaikan terpanjang sejak bulan Disember tahun lalu.
Saham gergasi teknologi menjadi penyumbang utama kepada pengukuhan S&P 500, dengan Apple, Microsoft, Alphabet, Meta, dan Broadcom memberikan rangsangan terbesar kepada indeks penanda aras tersebut.
Selain itu, laporan suku tahunan daripada Apple, Meta, Microsoft dan Tesla minggu ini dijadual menjadi ujian penting bagi rali pasaran yang dicetuskan oleh keterujaan terhadap kecerdasan buatan (AI).
Indeks utama menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan Dow Jones meningkat 0.64% kepada 313.69 mata, S&P 500 melonjak 0.50% kepada 34.62 mata dan Nasdaq Composite naik 0.435 kepada 100.11 mata.
Tumpuan utama kini terarah kepada mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang bermula hari ini dan berakhir dengan pengumuman mengenai dasar kadar faedah pada petang Rabu.
Menurut FedWatch CME Group, peniaga menilai kebarangkalian kira-kira 97% bahawa bank pusat akan mengekalkan kadar faedah yang stabil, serta mengharapkan petunjuk lebih jelas mengenai kadar seterusnya.
Beralih kepada prestasi saham utama lain, saham pengendali penjara GEO Group dan CoreCivic mengalami kejatuhan mendadak selepas Demokrat Senat Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan menentang rang undang-undang pembiayaan untuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang menyelia ICE.
Sebaliknya, saham USA Rare Earth meningkat 7.9% selepas pentadbiran AS dilaporkan mengambil 10% kepentingan syarikat pelombong tersebut sebagai sebahagian daripada pakej pelaburan bernilai $1.6 bilion.
























































