Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan Indonesia kini memulakan persiapan awal untuk menghantar seramai 8,000 anggota tentera bagi menyertai misi pengaman di Gaza.
Langkah tersebut sejajar dengan visi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam memperkasakan pengaruh negara itu di peringkat keselamatan global.
Ketua Turus Angkatan Dara Indonesia, Jeneral Maruli Simanjuntak memaklumkan bahawa perancangan itu dilihat masih bersifat sementara dengan jumlah dan tempoh penempatan anggota bergantung kepada penyelarasan dalam rantaian kepimpinan ketenteraan.
Menerusi satu kenyataan semalam, penugasan tersebut dilaporkan akan memberi keutamaan kepada unit perubatan serta kejuruteraan.
Kenyataan itu disampaikan semasa sesi mesyuarat kepimpinan bersama anggota tentera dan polis yang dipengerusikan oleh Prabowo di Jakarta.
Sejak kebelakangan ini, Indonesia telah meningkatkan usaha diplomatik berhubung isu Palestin bagi menstabilkan semula konflik di Gaza menerusi penyertaan dalam misi pengamanan.
Semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada bulan September tahun lalu, Prabowo menyatakan bahawa Indonesia sedia menghantar lebih 20,000 anggota pengamannya bagi menjamin keselamatan dan keamanan di Gaza.



























































