Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendesak Pengerusi Fed, Jerome Powell untuk menurunkan kadar faedah ‘sekarang juga’.
Dalam kenyataan tegasnya, Trump menyindir bahawa masa terbaik untuk potong kadar faedah adalah ketika ini, malah mendakwa keputusan mengekalkan kadar tinggi hanya membebankan ekonomi negara dan menyindir bahawa pelajar sekolah rendah pun boleh faham perkara itu.
Di sebalik desakan itu, Trump mempunyai alasan tersendiri.
Dengan hutang negara mencecah sekitar $39 trilion, kadar faedah yang tinggi meningkatkan kos bayaran balik.
Penurunan kadar pula dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, menghidupkan semula sektor perumahan, serta memberi lonjakan kepada pasaran saham dan kripto melalui peningkatan kecairan.
Namun begitu, pendirian Fed kekal berhati-hati.
Walaupun tekanan politik semakin kuat, pasaran menjangkakan hampir tiada perubahan kadar faedah dalam masa terdekat.
Ini kerana faktor luaran seperti konflik antara Amerika Syarikat dan Iran telah menolak harga minyak lebih tinggi, sekali gus meningkatkan risiko inflasi.
Apabila kos minyak naik, kesannya merebak ke seluruh ekonomi, daripada pengangkutan hingga harga makanan.
Dalam situasi ini, menurunkan kadar faedah terlalu awal boleh memburukkan inflasi, sesuatu yang cuba dielakkan oleh Fed.
Buat masa ini, inflasi AS masih sekitar 2.4%, tetapi tekanan kenaikan dijangka meningkat.
Justeru, Fed dilihat lebih selesa untuk ‘bermain selamat’ dengan menunggu perkembangan ekonomi sebelum membuat sebarang langkah besar.

























































