Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Menurut data industri semalam, jualan kenderaan elektrik (EV) menyumbang hampir satu perempat daripada jumlah keseluruhan kereta baharu yang dijual di United Kingdom (UK), sekali gus mencecah paras tertinggi pada tahun 2025.
Peningkatan tersebut dicapai selaras dengan usaha Britain untuk menghentikan penggunaan kenderaan enjin pembakaran (ICE) secara berperingkat.
Dalam satu kenyataan daripada Persatuan Pengilang dan Peniaga Motor (SMMT), pencapaian tahunan tertinggi bagi EV itu membantu melonjakkan jumlah jualan keseluruhan kereta melebihi 2 juta buat kali pertama sejak pandemik COVID-19.
Sementara itu, SMMT menyifatkan pencapaian tersebut sebagai prestasi cemerlang di sebalik cabaran ekonomi yang semakin mencabar dan situasi geopolitik yang sukar.
SMMT turut menyatakan bahawa UK kini disenaraikan sebagai pasaran EV kedua terbesar di Eropah selepas berjaya merekodkan kenderaan sebanyak 473,348 unit pada tahun lalu.
Data berasingan yang dikeluarkan semalam juga menunjukkan peningkatan mendadak dalam jualan EV di Jerman dengan jumlah pendaftaran melonjak 43.2% kepada 545,142 kenderaan tahun lepas.
Dalam pada itu, UK kekal komited terhadap matlamat mereka untuk mengharamkan penjualan kenderaan enjin pembakaran mulai tahun 2030, diikuti oleh kenderaan hibrid pada 2035.
Walau bagaimanapun, mereka memberi amaran mengenai kekurangan model EV yang layak menerima geran pembelian kenderaan, selain mengkritik pengenalan cukai kenderaan elektrik dalam belanjawan terbaharu Parti Buruh.

























































