Syarikat pengendali restoran hotpot dari Pulau Pinang, CCH Holdings Ltd (CCHH), mencipta kejutan apabila berjaya memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM203.9 juta untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan pusat data di Malaysia.
Syarikat yang disenaraikan di Nasdaq itu, dan terkenal menerusi rangkaian Chicken Claypot House, memaklumkan anak syarikat milik penuhnya telah menandatangani perjanjian selama tiga tahun dengan beberapa pelanggan.
Identiti pelanggan bagaimanapun tidak didedahkan kerana terikat dengan perjanjian kerahsiaan.
Di bawah kontrak tersebut, CCHH akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, sokongan teknikal dan operasi pusat data, termasuk penyediaan kapasiti pengkomputeran, penyelarasan penggunaan, perundingan teknikal serta khidmat nasihat operasi.
Skop perkhidmatan itu juga berpotensi diperluaskan ke pasaran luar negara selaras dengan rancangan pengembangan pelanggan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Goh Kok E, kontrak itu merupakan langkah penting dalam usaha mempelbagaikan perniagaan syarikat ke sektor infrastruktur teknologi dan pusat data, tanpa menjejaskan operasi perniagaan restoran sedia ada.
Beliau berkata, CCHH akan terus mengembangkan rangkaian restoran francaisnya sambil memanfaatkan peluang dalam sektor pusat data dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI), yang kini berkembang pesat di Malaysia dan Asia Tenggara.
Walaupun berjaya memperoleh kontrak bernilai besar, prestasi kewangan syarikat masih mencatatkan cabaran. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, CCHH merekodkan kerugian bersih RM2.68 juta, berbanding keuntungan RM913,400 pada tahun sebelumnya.
Namun, hasil syarikat meningkat 7.5% kepada RM9.59 juta berbanding RM8.92 juta pada tahun sebelumnya.
Kontrak baharu ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi CCHH daripada sebuah syarikat restoran kepada pemain dalam industri pusat data, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu ketika permintaan terhadap infrastruktur digital dan AI terus berkembang.
Nak jumpa kami secara bersemuka?
Singgah ke Invest Fair di Mid Valley Exhibition Centre pada 18-19 Julai 2026, di Booth 330, Hall 3. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan merchandise eksklusif Intraday, selagi stok masih ada!





















































